ARAU, 27 Mac– Buat julung kalinya, komuniti Kampung Jelempok, Arau berjaya merealisasikan Projek Pelita Raya@Aidilfitri, sebuah inisiatif yang menghidupkan semula tradisi menyalakan pelita panjut bagi menyambut 1 Syawal.
Projek digerakkan oleh anak muda dan penduduk kampung dengan pemasangan lebih 2,000 pelita panjut sepanjang 1.5 kilometer sekitar kampung, mencipta suasana penuh nostalgia dan kemeriahan.
Menurut Exco Negeri merangkap ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, tradisi menyalakan pelita panjut itu bukan sekadar penyeri suasana tetapi juga mengimbau kenangan masyarakat desa ketika menyambut Aidilfitri.
"Ini kali pertama usaha sebegini dibuat secara besar-besaran di Perlis, dan kita bercadang untuk meneruskannya setiap tahun. Selain memeriahkan sambutan, ia juga mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat," katanya.
Melihat kepada sambutan luar biasa, Mohd Ridzuan turut mencadangkan agar projek tersebut dijadikan sebagai pertandingan di peringkat DUN pada masa hadapan.
“Kalau sambutannya begini meriah, mungkin kita boleh adakan pertandingan di peringkat DUN. Raya bukan untuk bersedih, tetapi untuk diraikan dengan kegembiraan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek itu.
Majlis tersebut dihadiri lebih 500 penduduk setempat yang teruja melihat kilauan pelita panjut serta persembahan bunga api, menjadikan Kampung Jelempok penuh dengan cahaya dan semangat Aidilfitri yang meriah.