
JOHOR BAHRU, 22 Januari – Projek naik taraf Lebuhraya Senai–Desaru (SDE) daripada dua kepada empat lorong akan dipanjangkan sejauh empat kilometer, melibatkan kos tambahan 117 juta ringgit.
- Projek pelebaran SDE daripada dua ke empat lorong dipanjangkan sejauh empat kilometer melibatkan kos tambahan RM117 juta.
- Penambahan laluan merangkumi jajaran Cahaya Baru ke Jambatan Sungai Johor sebagai sambungan projek sedia ada.
- Kerja-kerja awal dikendalikan LLM, projek sedia ada 9.34 km dijangka siap April tahun depan dengan kemajuan 53.19%
Penambahan laluan itu melibatkan jajaran dari Cahaya Baru ke Jambatan Sungai Johor merupakan sambungan kepada projek pelebaran sedia ada.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ketika ini projek pelebaran SDE sedang dilaksanakan sepanjang 9.34 kilometer, bermula dari Jambatan Sungai Johor hingga Sungai Semenchu, dan dijangka siap April tahun hadapan.
“Projek sambungan sepanjang empat kilometer ini merupakan kesinambungan kepada projek yang sedang dilaksanakan, dengan peruntukan berjumlah RM117 juta telah diluluskan dan boleh digunakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi perancangan tahun 2026.
Kerja-kerja awal akan dikendalikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi menentukan tarikh mula pelaksanaan, dan kita berharap projek ini dapat dimulakan secepat mungkin,” katanya selepas merasmikan Jejambat dan Plaza Tol Bestari Perdana SDE Meridin East di Pasir Gudang, Johor Bahru.
Beliau turut memaklumkan kemajuan projek telah mencapai 53.19 peratus, iaitu 0.02 peratus lebih awal daripada jadual ditetapkan.