KUCHING, 12 Februari- Pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Kebangsaan Batu Putih Baru, Sandakan, Sabah bakal dilaksanakan bawah Projek Daif Sabah 2023.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana sentiasa komited dalam usaha meningkatkan infrastruktur pendidikan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
Ini selari dengan agenda reformasi pendidikan sebagai usaha meningkatkan tahap kualiti pendidikan.
“Sebab kita pun sekarang dalam satu sesi kolaborasi antara agensi pelaksana, JKR Sabah, JKR Sarawak dan JKR Malaysia, bersama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia. Sekarang di Damai Lagoon ini untuk kita membincangkan bagaimana untuk mempertingkatkan kecekapan untuk melaksanakan semua projek, bukan hanya projek bangunan dan sekolah, tapi projek infrastruktur juga", katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Penyerahan Surat Setuju Terima projek tersebut di Damai Lagoon Kuching.
Katanya, projek itu bertujuan untuk menyediakan kemudahan yang lebih selesa serta mewujudkan suasana persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dan selamat kepada warga sekolah.
Beliau juga berharap kontraktor yang telah dilantik menjalankan tanggungjawab dengan baik demi manfaat penduduk setempat khususnya para pelajar.
Projek pembinaan semula bangunan daif Sekolah Kebangsaan Batu Putih Baru, Sandakan, Sabah telah diserahkan kepada syarikat pelaksana dengan kos kontrak yang dipersetujui berjumlah RM43.89 juta.