Projek naik taraf Hospital Pontian kurangkan kesesakan HSA, HSI – Dr Dzulkefly

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Pontian/Foto BERNAMA

PONTIAN, 15 Februari – Pembinaan bangunan baharu Hospital Pontian dijangka meningkatkan perkhidmatan kesihatan penduduk setempat selain menaik taraf statusnya daripada hospital daerah kepada Hospital Pakar Minor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Naik taraf Hospital Pontian tingkatkan perkhidmatan kesihatan dan ubah status dari hospital daerah ke hospital pakar.
  • Projek empat blok 10 tingkat kurangkan kesesakan di HSA dan HSI serta perkasakan perkhidmatan di selatan Johor.
  • Tambahan fasiliti termasuk katil, unit rawatan kecemasan dan peralatan moden tingkatkan keselesaan pesakit setempat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, naik taraf itu melibatkan pembinaan empat blok bangunan setinggi 10 tingkat.

Beliau berkata, projek berkenaan akan memperkasa perkhidmatan kesihatan di selatan Johor selain meningkatkan keselesaan penduduk Pontian yang tidak lagi perlu berulang-alik ke Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan pakar.

“Projek ini memperkasa perkhidmatan kesihatan di selatan Johor dan membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) serta Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya.

Datuk Seri Dr. Dzulkefly berkata demikian pada Majlis pecah tanah bangunan tambahan Hospital Pontian dan Karnival Rakyat MADANI, di sini.

Projek bernilai RM400 juta itu turut melibatkan penambahan kemudahan termasuk 110 katil, unit rawatan kecemasan dan peralatan perubatan moden.

Hospital yang beroperasi sejak 1929 itu telah memberi perkhidmatan kepada kira-kira 178,000 pesakit.