PUTRAJAYA, 17 April - Projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) tidak akan diteruskan.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat dibuat selepas pemegang konsesinya gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan.
"Pihak PJD Link telah memohon lanjutan untuk memenuhi sejumlah syarat tetapi ini telah ditolak oleh pihak kerajaan dan keputusannya adalah tidak diteruskan.
"Akibat daripada kegagalan memenuhi sejumlah syarat-syarat yang diperlukan, maka projek tersebut tidak diteruskan," katanya pada sidang media, di sini.
PJD Link merupakan projek pembinaan lebuh raya berkembar empat lorong sepanjang 25.4 kilometer yang menghubungkan Damansara ke Bandar Kinrara, Puchong.