Projek ladang babi di Bukit Tagar ditangguh

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Tahun Baharu Negeri Selangor 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 hari ini/BERNAMA

SHAH ALAM, 26 Januari -Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan projek ladang babi yang dicadangkan di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Negeri menangguhkan sementara projek ladang babi di Bukit Tagar.
  • Keputusan diambil untuk meneliti tapak alternatif atau kaedah lain bagi menangani permintaan.
  • Pelaksanaan akan dibuat lebih menyeluruh dan berhati-hati dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Keputusan tersebut dibuat bagi memberi ruang kepada penelitian terhadap pilihan tapak lain atau kaedah alternatif dalam menangani permintaan sedia ada.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu diambil bagi memastikan sebarang pelaksanaan projek dibuat secara lebih menyeluruh dan berhati-hati, termasuk mengambil kira kesesuaian lokasi serta pandangan pelbagai pihak.

“Kita akan melaksanakannya, namun kaedah untuk menyerap dan mengurangkan kesannya perlu ditangani dengan sebaiknya. Justeru, kita akan mengikut nasihat Perdana Menteri kerana isu ini telah melangkaui perkara dan realiti sebenar.

“Tidak mengapa. Kita tangguh dan kita batalkan buat sementara. Sementara kita dapat pilihan tapak atau kaedah lain untuk menangani permintaan. Kita akan menyantuni semua faktor.

“Yang pentingnya adil dan kita beri nasihat dan kepentingan semua faktor. Jika ada salah faham, kita kena terangkan. Ada yang mungkin, yang kurang faham,” kataya kepada pemberita, di sini selepas menyampaikan amanat Tahun Baru 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyarankan agar projek penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar dibatalkan serta dipertimbangkan untuk dipindahkan ke lokasi lain yang lebih sesuai.

Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan keutamaan tahun 2026 adalah kepada transformasi perkhidmatan awam negeri yang lebih efisien, reformasi pengukuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta penambahbaikan perkhidmatan asas termasuk pengurusan sisa pepejal, aduan rakyat dan penyelenggaraan jalan raya.