
SEMENYIH, 27 Januari – Projek berskala kecil seperti pembinaan jalan pintas dan kemudahan awam tidak wajar dipandang remeh kerana memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat.
- Perdana Menteri tekankan projek kecil mesti diberi keutamaan dan dilaksanakan segera selepas dipersetujui.
- Kerajaan mahu manfaat pembangunan dirasai rakyat melalui pelaksanaan yang cekap, pantas dan berintegriti.
- Kerjasama erat antara awam, swasta, kerajaan negeri dan pemimpin tempatan penting untuk selesaikan projek tertangguh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, projek berskala kecil tetap perlu diberi keutamaan dan dilaksanakan segera sebaik dipersetujui serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Projek kecil bagi saya tetap projek utama. Jika sudah dipersetujui dan mematuhi peraturan, pelaksanaannya perlu disegerakan. Tidak wajar menunggu enam bulan sekiranya boleh disiapkan dalam tempoh dua bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan mahu memastikan rakyat benar-benar merasai manfaat pembangunan menerusi pelaksanaan projek yang cekap, pantas dan berintegriti.
Datuk Seri Anwar berkata, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, bersama kerajaan negeri serta pemimpin tempatan, terbukti berkesan dalam menyelesaikan isu projek pembangunan yang lama tertangguh demi keselesaan rakyat.
Kata beliau, projek yang sebelum ini berdepan pelbagai kekangan akhirnya dapat digerakkan apabila semua pihak mengambil tanggungjawab bersama serta memberi tumpuan kepada penyelesaian, bukan kepada masalah semata-mata.
“Tanggungjawab untuk memperbaiki keadaan negara bukan hanya terletak pada kerajaan atau sektor swasta, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira latar belakang bagi membawa perubahan yang lebih baik kepada negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan perlu mengambil sikap positif dan proaktif dalam membantu rakyat, tanpa menunggu masalah dibawa kepada mereka.
“Kalau tidak ada usaha bersama untuk menyelesaikan, projek seperti ini memang susah. Tetapi apabila semua pihak memberi perhatian dan bekerjasama, projek berkenaan boleh diselesaikan,” katanya.
Tambah beliau lagi, komunikasi berterusan antara kerajaan, pihak berkepentingan dan pemilik tanah memainkan peranan penting dalam merungkai isu teknikal serta pentadbiran secara berperingkat.