
KOTA TINGGI, 28 Mac – Pelaksanaan Projek JanaVeteran mampu memperkasakan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui penjanaan pendapatan mampan, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan mereka terhadap bantuan kebajikan dan menjamin kesejahteraan golongan veteran.
- Kerjasama Boustead Plantations dan JHEV laksanakan Projek JanaVeteran tanaman Halia KayTi di 12 hektar, fokus bina keupayaan veteran.
- Projek rintis libatkan 15 veteran, pendapatan sehingga RM2,500 serta insentif bergantung hasil, disokong latihan dan pemantauan operasi.
- Pelaksanaan menyokong keterjaminan makanan dan buka peluang pengembangan ke 42 ladang Boustead, 10 peratus tanah untuk veteran.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek tersebut dilaksanakan oleh Boustead Plantations Berhad (BPlant) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).
Ia melibatkan tanaman halia menggunakan jenama Halia KayTi di tanah seluas 12 hektar, dengan fokus membina keupayaan veteran agar mampu berdikari dan meningkatkan potensi pendapatan.
Projek tersebut melibatkan 15 veteran yang dijangka meraih pendapatan sehingga RM2,500 serta insentif tambahan berdasarkan hasil tuaian, sekali gus membuka peluang pendapatan lebih tinggi dan berdaya tahan.
Menurutnya, pelaksanaan projek rintis itu juga menyokong agenda keterjaminan makanan negara menerusi pengeluaran tanaman bernilai tinggi.
“Kita nak supaya program ni diperluaskan pada skala lebih besar dan Boustead mempunyai 42 ladang di seluruh negara. Ladang-ladang tersebut sebahagiannya atau sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keluasan tanah, boleh ditanam dengan tanaman kontan dan ditawarkan kepada veteran untuk menyertai,” katanya selepas merasmikan Projek JanaVeteran Ladang Telok Sengat, Kota Tinggi, Johor.
Setiap peserta akan mengusahakan 7-ribu 500 polibeg tanaman halia dengan sokongan BPlant termasuk latihan dan pemantauan operasi.
Pasaran halia global dijangka mencecah AS$7.5 bilion menjelang 2033.