fb fb fb fb fb

Projek ECRL: Pacu pertumbuhan ekonomi wilayah timur, jamin pembangunan merata

Datuk Seri Anwar berucap pada majlis pecah tanah Stesen Terminal Bersepadu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak.

GOMBAK, 19 Jun- Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat memacu pertumbuhan ekonomi wilayah timur Semenanjung membabitkan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, kata Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim

Beliau berkata ia juga mempamerkan kesediaan Malaysia dalam menjamin pembangunan merata di seluruh negara.

"ECRL akan jamin pertumbuhan rantau yang dianggap kurang dari segi persaingan dan tidak berkeupayaan bersaing melainkan kita sediakan prasarana cukup baik yang disediakan termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang supaya dapat lihat pertumbuhan ekonomi lebih segar di negeri-negeri berkenaan," katanya.

Mengambil kira manfaat tersebut, Anwar meminta pelaksanaan projek mega bernilai lebih RM50 bilion itu dipercepat dan beliau berkata kerajaan akan bekerjasama rapat untuk pesatkan pertumbuhannya hingga ia berjaya selesai.

Perdana Menteri berucap pada majlis pecah tanah Stesen Terminal Bersepadu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak.

Majlis pecah tanah itu membuka laluan kepada penyediaan rel ECRL yang melibatkan laluan dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor yang dijangka siap pada Disember 2026.

Terletak di kawasan seluas 8.73 hektar di pinggir kawasan pembentukan kuarza terpanjang di dunia 'Gombak Selangor Quartz Ridge', stesen Terminal Bersepadu ECRL Gombak ini juga dijangka dihubungkan dengan stesen LRT Gombak sedia ada, bagi memudahkan kesalinghubungan menerusi LRT Laluan Kelana Jaya.

Majlis pecah tanah itu adalah sebahagian daripada acara lawatan rasmi Perdana Menteri China ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Pengerusi MRL Tan Sri Mohd Zuki Ali, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC) Wang Tongzhou, para menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Malaysia dan China.

ZEHRA BINTI ZAMBRI