
GOMBAK, 16 Mac – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 92.62% setakat Februari 2026.
- Jajaran Kota Bharu ke Gombak dijangka siap menjelang akhir tahun dan mula operasi komersial pada Januari 2027.
- Pembinaan landasan utama sepanjang 519 kilometer dari Kota Bharu ke Gombak selesai lebih awal daripada jadual.
- Pengoperasian tren EMU dan E-Loco akan memperkukuh ECRL sebagai mod pengangkutan hijau untuk penumpang dan kargo.
- Jajaran Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap Disember 2027 dan seluruh laluan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.
Kemajuan projek pembinaan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran Kota Bharu, Kelantan ke Gombak menjelang akhir tahun ini, sebelum memulakan operasi secara komersial pada Januari 2027.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata projek ECRL ini berupaya menjadi pemangkin kepada peningkatan jaringan pengangkutan rel negara dan merancakkan pertumbuhan ekonomi khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.
“Projek ECRL juga mencatat satu lagi pencapaian penting pada hari ini dengan selesainya pembinaan landasan jajaran utama ECRL sepanjang 519 kilometer dari Kota Bharu ke Gombak lebih awal daripada yang dijadualkan.
“Pengoperasian komersial tren EMU dan E-Loco bakal membuka lembaran baharu dalam memperkukuh ECRL sebagai mod pengangkutan hijau untuk penumpang dan kargo, merentasi rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer negeri-negeri Pantai Timur dan Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pelantikan Joint Lead Coordinator (JLC) Bagi Pengurusan Risiko FX Projek ECRL dan Penyempurnaan Pembinaan Landasan ECRL Dari Kota Bharu ke Gombak di Terminal Bersepadu Gombak (TBG).
Datuk Seri Amir Hamzah memaklumkan jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang di Selangor dijangka akan disiapkan menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.