fb fb fb fb fb

Projek ECRL di Terengganu capai kemajuan 87.4 peratus

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke / Foto Bernama

KUALA TERENGGANU, 9 Oktober – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu telah mencapai kemajuan sehingga 87.4 peratus setakat September lalu, menjadikan negeri itu sebagai peneraju dengan peratusan tertinggi kemajuan projek berbanding tiga negeri lain.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerja-kerja pemasangan landasan sepanjang 130 kilometer telah melepasi kawasan Kuala Terengganu.

Beliau optimis, projek tersebut mencapai kemajuan mengikut jadual yang ditetapkan, meskipun mengambil kira keadaan cuaca dan musim tengkujuh yang dijangka tiba bulan depan.

“Projek ini dibina lebih tinggi untuk memastikan ia bebas banjir. Semua faktor telah diambil kira dan saya yakin pengalaman mereka dalam beberapa tahun ini akan membantu mereka menyiapkan kerja mengikut jadual,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL). EPIC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ts. Muhtar Suhaili, manakala MRL diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak.

Perjanjian itu merupakan langkah strategik untuk meneroka kerjasama dalam mengintegrasikan operasi syarikat dengan rangkaian projek ECRL, yang akan menggalakkan kerjasama dalam bidang utama untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan dan pengendalian kargo.

Ini termasuk integrasi operasi logistik EPIC dengan rangkaian ECRL di laluan sambungan Pelabuhan Kemaman.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN