fb fb fb fb fb

Projek Aerotrain masih di peringkat ujian - Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 15 Januari – Proses penyelesaian projek Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) kini masih berada di peringkat ujian pelbagai fasa, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, kontraktor yang terlibat dalam projek itu sedang melaksanakan ujian dinamik bersama beberapa ujian lain untuk memastikan sistem berfungsi dengan baik.

"Ketika ini, ujian dinamik sedang dijalankan. Selepas itu, akan ada ujian sistem penuh dan integrasi sistem sebelum projek boleh diserahkan kepada pihak berkuasa untuk ujian akhir," katanya pada sidang media mengenai prestasi trafik penumpang dan kargo Malaysia bagi 2024 di Kementerian Pengangkutan, di sini.

Walaupun sebelum ini terdapat jangkaan bahawa sistem Aerotrain akan siap pada 31 Januari, Loke memaklumkan setakat ini tiada tarikh pasti yang diberikan oleh kontraktor.

Tahun lalu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan langkah untuk menggantikan sistem Aerotrain lama dengan sistem baharu.

Projek itu melibatkan perbelanjaan besar dan memerlukan masa yang cukup untuk memastikan kesemua fasa ujian dilaksanakan dengan teliti.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN