HULU LANGAT, 8 Januari- Lebih 1.5 juta ringgit disumbangkan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi kepada penduduk terjejas banjir di negara ini.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sumbangan itu disalurkan menerusi Program Ziarah Prihatin Misi Pembersihan Pasca Banjir.
"Saya boleh berani menyatakan RM1.5 juta kalau campur dengan barang-barang yang dibawa NGO semua sekali dalam RM1.5 ke RM2 juta yang kita turun padang untuk berikan kepada mangsa banjir", katanya ketika turun padang dalam misi tersebut di Hulu Langat.
Sumbangan kepada lebih 50 penerima penduduk terjejas sekitar Hulu Langat diberi dalam bentuk wang tunai.
Ia melibatkan 30 rumah di kawasan Batu 18, Batu 17 dan Batu 16.
Lebih 70 sukarelawan dari Kelab KPPK, TENAGA dan badan bukan kerajaan Penggerak Komuniti secara bersepadu digerakkan.
Misi hari ini diteruskan ke Melaka.