JITRA, 4 Jun - Program Ziarah Kasih sempena Hari Keputeraan Agong dianjurkan Jawatankuasa Ketua Kampung Persekutuan JKKP di Kampung Paya Dudur di sini.
Program berkenaan bertujuan menyantuni serta mengunjungi individu dan keluarga yang uzur kesihatan serta menderita pelbagai penyakit melibatkan enam buah rumah.
Antara yang menjadi tumpuan salah sebuah rumah adalah seorang surirumah Kharida Abu Hasan 54 tahun yang terpaksa menjaga ayahnya Abu Hasan Hashim 82 tahun dan suaminya Norain Hashim 63 tahun sepenuh masa yang terlantar akibat penyakit strok sejak lebih dua tahun yang lalu.
Keadaan berkenaan menyebabkan Kharida terpaksa menutup gerai makanan yang diusahakannya dan hanya menerima tempahan untuk memasak juadah seperti roti jala dan nasi lemak dari rumah.
Kharida turut mendedahkan hanya menerima bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah LZNK secara bulanan RM400 serta bantuan orang ramai.
Sementara itu Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu Datuk Aminuddin Omar turut membantu memberikan bantuan keperluan harian serta sumbangan wang tunai.
Aminuddin turut berjanji akan membantu menguruskan urusan bantuan di Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM.
"Saya berbincang dengan pengerusi JPKK untuk kita melihat keadaan mereka yang sangat memerlukan bantuan seperti 'pampers' dan sebagainya.
"Mereka yang uzur ini kita akan majukan permasalah ini kepada pihak jabatan kebajikan masyarakat", katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Selain itu Aminuddin turut mengunjungi lima buah rumah lain di Jitra iaitu kampung Lubuk Kawah untuk bertanya khabar serta memberi bantuan berupa keperluan asas pek makanan dan minuman serta wang tunai.