fb fb fb fb fb

Program Wanita Bangkit@KPWKM: 90 peratus peserta berjaya jana pendapatan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri

KUANTAN, 5 Disember- Sebanyak 90 peratus daripada 8,536 peserta Program Wanita Bangkit@KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) Kasih Kapital telah berjaya menjana pendapatan.

Peserta yang terlibat merupakan golongan ibu tunggal dan suri rumah, melibatkan peruntukan sebanyak RM4.268 juta.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program tersebut diadakan bagi memperkasakan wanita, bukan sahaja ibu tunggal malah peniaga kecil yang ingin mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau berkata melalui pemantauan fasa pertama selepas tiga bulan menerima bantuan MyKasih Kapital, 90 peratus peserta dapat terus menjana pendapatan dengan hanya berniaga di rumah.

"Kita tidak membiarkan itu sahaja, kita ada pemantauan. Kita hendak melihat mereka, bagaimana mereka dapat menambah baik kehidupan mereka dan berapa mereka jana dari RM500 itu dalam masa 3 bulan, berapa mereka dapat, ada yang bertambah dari RM1000 dapat RM3000 dan malah adal lebih dari dari itu", katanya kepada media selepas Program Wanita Bangkit@KPWKM di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan

Peserta dipantau selepas enam bulan menerima bantuan modal sebanyak RM500 dan menjalani kursus daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Program Wanita Bangkit ini juga turut dibantu oleh 400 orang sukarelawan wanita yang telah berdaftar di bawah YKN bagi melancarkan pelaksanaan program.

Seramai 1000 peserta di Pahang yang terdiri daripada ibu tunggal telah menyertai program ini.

Rata-rata mereka yang ditemui sudah mempunyai perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan di rumah dan tekad untuk mengembangkan perniagaan selepas menyertai program ini.

ROSLINA BINTI DIN