fb fb fb fb fb

Program TVET Aras Tinggi akan terus diberi penekanan

Foto BERNAMA

AYER KEROH, 27 September- Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Aras Tinggi (Hi-TVET) akan terus diutamakan dalam kalangan pelajar TVET menerusi program berimpak tinggi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata antaranya program dalam sektor strategik, seperti aeroangkasa, perkapalan, teknologi rel, robotik dan satelit diperkenalkan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) contohnya dipilih sebagai pusat Hi-TVET menerusi program Kecerdasan Buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan robotik.

"Tawaran tempat lepasan pelajar dalam aeroangkasa, bukan sahaja untuk bekerja di Melaka tetapi mempunyai kolaborasi dengan Airbus dan Boeing untuk menghantar lepasan TVET ke luar negara mendalami bidang ini." katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Institusi Pendidikan TVET @KKDW 2024 di MITC di sini.

"Penekanan juga diberikan terhadap sektor penyelenggaraan pesawat dan perkapalan yang mempunyai fakulti dalam bidang maritim di bawah UniKL di Lumut." tambahnya.

Malaysia mengamalkan dasar luar yang terbuka dan berkecuali mampu menarik pelabur ke dalam negara, turut menawarkan kemudahan dan tenaga berkemahiran yang dikehendaki seperti lepasan TVET.

Sebanyak 16 Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai sepanjang ekspo berkenaan.

Ia melibatkan 17 rakan industri strategik mencakupi pelbagai bidang utama dalam TVET, seperti automotif, industri komposit aeroangkasa, Industri 4.0, kenderaan elektrik, keselamatan siber, teknologi digital serta latihan selaman.

Dalam pada itu seramai 662 pelajar TVET Tahfiz sedang dilatih dalam bidang teknologi dan profesional untuk menyumbang kepada pelbagai sektor industri.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya yakin apabila beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat kejuruteraan dalam bidang aeroangkasa dimeterai pelatih ini akan diterima bekerja dalam syarikat berkait bidang aeroangkasa.

Pada masa sama beliau turut berbangga apabila UniKL Malaysia Institute Of Aviation Technology (MIAT) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut berjaya melahirkan ramai graduan TVET Tahfiz.

"Seramai 17 orang telah bekerja sekarang ini, dan sedang dilatih kira-kira 662 orang. Kita yakin pengalam yang diperoleh daripada mereka ini akan diambil bekerja dalam syarikat-syarikat kejuruteraan dalam bidang aeroangkasa," katanya lagi.

Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini merupakan tahun keenam pelaksanaanya dengan melibatkan penyertaan dan kerjasama daripada 279 institusi pendidikan TVET@KKDW di bawah tujuh agensi KKDW.

Trainee