ALOR SETAR, 11 Disember- Ke arah melestarikan alam sekitar terutama di kawasan perumahan, Sekolah Menengah Kebangsaan, SMK Seri Ampang menganjurkan Program Toyota Eco Youth (TEY) dan karnival mini.
Program bertemakan 'Reduce Carbon Footprint Dalam Melestarikan Alam Sekitar Tahun 2023' itu diadakan di Taman Sri Kota, Jalan Kuala Kedah dan dirasmikan oleh Ketua Bahagian Komuniti dan LA 21, Majlis Bandaraya Alor Setar, Mohd Faizal Abu Bakar mewakili Datuk Bandar Alor Setar.
Menurut Mohd Faizal, dengan adanya program seumpama ini, beliau yakin dan percaya ianya dapat memberikan suntikan motivasi kepada semua pihak terutamanya golongan belia supaya sentiasa mengamalkan budaya hijau dan mencintai alam sekitar.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah perasmian projek Toyota Eco Youth iaitu taman herba dan mini rekreasi dan pertandingan pengumpulan barangan kitar semula.
Pada karnival mini tersebut, beberapa reruai pameran telah dibuka antaranya oleh Jabatan Alam Sekitar, Kolej Komuniti Arau, SWCorp, Free Market oleh pihak sekolah SMK Seri Ampang dan reruai Toyota Eco Youth Gah Ampang.
Hadir sama, Pengetua SMK Seri Ampang, Jafri Lembut.
Program Toyota Eco Youth adalah usaha kolaborasi antara UMW Toyota Motor dan Kementerian Pendidikan dalam mewujudkan kesedaran dan memupuk rasa cinta terhadap kepentingan alam sekitar dalam kehidupan dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
SMK Seri Ampang dipilih mewakili Kedah ke Pertandingan Toyota Eco Youth peringkat kebangsaan.
Pemenang pertandingan akan diumumkan pada Januari 2024 di Putrajaya.