Program Teater Bahasa Melayu SJKC bukti pelajar fasih berbahasa kebangsaan

KUALA LUMPUR, 27 September – Program Teater Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 2025 baru-baru ini berjaya membuktikan bahawa kepelbagaian aliran pendidikan bukan penghalang untuk melahirkan generasi pelajar yang fasih berbahasa kebangsaan serta berbakat dalam bidang seni.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris, berkata sambutan program amat menggalakkan dengan penyertaan 18 buah sekolah SJKC dari seluruh negara.

“Bagi Program Teater Bahasa Melayu, saya lihat daripada segi persembahannya amat-amat menarik dalam kalangan pelajar-pelajar sebab kalau kita tengok tadi pelajar sekolah rendah sebenarnya tapi mereka ini cukup berbakat, mereka boleh menguasai bidang lakonan, mereka boleh menguasai Bahasa Melayu menguasai pentas dan boleh asas-asas daripada teater memang mereka cukup-cukup faham,” katanya di sini.

Menurut beliau, JKKN berhasrat memperluas penyertaan ke peringkat zon di seluruh negara, termasuk melibatkan sekolah dari Sabah dan Sarawak pada masa hadapan, bergantung kepada peruntukan bajet dan logistik.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menyifatkan program yang telah dianjurkan sebanyak tujuh kali itu sebagai bukti sistem pendidikan pelbagai aliran berjaya melahirkan murid seimbang dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah.

“Hari ini terbukti kemenjadian murid kita di pelbagai aliran sekolah, sama ada Sekolah Kebangsaan, SJKC atau Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“Dalam sistem pendidikan yang ada sekarang, kita mampu melahirkan anak-anak bukan sahaja cemerlang daripada segi akademik dan prestasi dalam bilik darjah, tetapi juga unggul dalam bidang kokurikulum serta bakat masing-masing,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan kepelbagaian bahasa, budaya dan kaum di Malaysia merupakan kekuatan yang perlu terus diperkasakan menerusi sistem pendidikan inklusif.

Pelajar, Ooi Zhi Ling dari SJKC Kuen Cheng 2 yang meraih Anugerah Citra Pelakon Perempuan Terbaik menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pengalaman paling bermakna sepanjang penglibatan dalam teater itu.

“Saya rasa sangat bangga.Saya telah berlatih selama lima bulan dan ini merupakan yang pertama kali berlakon,” katanya.

Sementara itu, pelajar dan penerima Anugerah Citra Pelakon Lelaki Terbaik dari SJKC On Pong, Lee Bok Lim, turut berkongsi kegembiraan atas pengiktirafan yang diterimanya.

“Saya berasa gembira dan bangga. Saya berlatih selama tiga bulan. Saya ingin berterima kasih kepada guru dan ibu bapa saya kerana banyak mengajar saya,” katanya.

Program Teater Bahasa Melayu SJKC itu turut mendapat sokongan pelbagai kementerian dan badan kebudayaan, dan dijangka diteruskan dengan skala lebih besar pada tahun-tahun mendatang.