fb fb fb fb fb

Program Siswa Komuniti Madani jelajah kampung

Seramai 350 peserta terdiri daripada pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjayakan Program Siswa Komuniti Madani

KANGAR, 24 Februari - Seramai 350 peserta terdiri daripada pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjayakan Program Siswa Komuniti Madani.

Program berkonsepkan jelajah ke kawasan kampung di seluruh negeri Perlis itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pelajar UniMAP kepada komuniti setempat.

Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar UniMAP, Dr Farah Farhana Zainal berkata sejak Mac 2023 sehingga kini, sebanyak tujuh siri Program Siswa Komuniti Madani telah berjaya dilaksanakan dengan melibatkan lebih 4,000 penduduk.

Beliau berkata, antara lokasi pelaksanaanya ialah di Masjid Jamek Kampung Binjal, Utan Aji, Masjid Nurul Hikmah, Wang Bintong, Kampung Hujong Tanjung Kuala Perlis dan Masjid Al Ghufran Batu 2 Lama.

"Program bersama komuniti sebegini dilihat sebagai medium penting mengeratkan silaturahim dan hormat menghormati serta mengukuhkan perpaduan antara masyarakat setempat dengan pelajar dari dalam dan luar negara.

"Selain itu, setiap mahasiswa yang terlibat turut dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan bersama penduduk selain dapat menghayati serta mengenali adat dan budaya setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Siswa Komuniti Madani siri ke tujuh di Masjid Al Ghufran, Batu 2 Lama, di sini.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk pemeriksaan kesihatan, mengemaskini maklumat Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), program gunting rambut percuma dan penukaran minyak hitam kepada 100 pemilik motosikal serta aktiviti gotong-royong.

Program, melibatkan kerjasama Anak Muda JATI Perlis, UniMAP Society serta rakan strategik Pertubuhan Kebajikan Anak Jati Perlis (JATI) dan pengurusan Masjid Al Ghufran.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN