fb fb fb fb fb

Program Singgah Sahur santuni asnaf di Perlis

Foto RTM

KANGAR, 18 Mac- Pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi menghayati bulan Ramadan kali ini bersama komuniti setempat khususnya golongan asnaf di kawasan kampung. Antara program berkenaan ialah Program Singgah Sahur anjuran UMNO bahagian Kangar.

Program Singgah Sahur ini dilaksanakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri bagi Parlimen Kangar dengan tumpuan diberikan kepada keluarga asnaf terpilih setiap DUN.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, menerusi program ini, kepimpinan UMNO Bahagian Kangar bersama penduduk setempat menziarahi keluarga asnaf untuk sahur bersama-sama dimana makanan disediakan pihak UMNO Bahagian Kangar.

“Keluarga asnaf terlibat tidak perlu menyediakan makanan untuk bersahur yang mana ini menjimatkan dan menceriakan mereka untuk bersahur beramai-ramai dengan penduduk setempat sambil sembang santai mengenai kebajikan keluarga asnaf berkenaan.”

“Alhamdulillah sokongan masyarakat setempat khususnya dikalangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) begitu baik dan program yang dilaksanakan ini kan terus menyantuni golongan sasar yang telah dikenal pasti", kata Fathul Bari pada Program Singgah Sahur Bersama Kepimpinan UMNO Bahagian Kangar di Kampung Kurong Batang, yang merupakan lokasi kedua program setelah dilaksanakan di Kampung Padang Katong.

Selain bersahur bersama keluarga asnaf, setiap keluarga turut diberikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai untuk perbelanjaan harian sepanjang Ramadan.

Program Singgah Sahur ini  merupakan sebahagian daripada lebih 40 program sempena Ramadan yang akan dilaksanakan UMNO Bahagian Kangar kali ini disetiap kawasan Parlimen Kangar bersama komuniti setempat termasuk bersama kepimpinan JPKKP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD