
ARAU, 14 Mac – Seramai 101 penerima melibatkan golongan asnaf, anak yatim dari Pertubuhan Anak Yatim Negeri Perlis serta pelajar tahfiz Madrasah Muqarrabin, Beseri menerima sumbangan dengan nilai keseluruhan RM21,000.
- Inisiatif berterusan UiTM Cawangan Perlis mendekati masyarakat dan menyemai budaya berkongsi rezeki serta keprihatinan sepanjang Ramadan.
- Pengisian program termasuk gotong-royong memasak bubur lambuk, agihan sumbangan, ceramah, pemeriksaan kesihatan dan majlis berbuka bersama asnaf serta pelajar tahfiz.
- Program dianjur FPP UiTM Perlis dengan kerjasama komuniti, agensi kerajaan dan sektor korporat untuk memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat setempat.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis, Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh dalam kenyataan memaklumkan, Program ‘Setulus Kasih Ramadan’ merupakan antara inisiatif berterusan universiti itudalam mendekati masyarakat serta menyemai budaya berkongsi rezeki dalam kalangan warga kampus.
“Ia merupakan usaha menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan serta menyemai nilai keprihatinan terhadap masyarakat, bagi menyantuni golongan asnaf, pelajar tahfiz dan anak-anak yatim di sekitar negeri Perlis.
“Melalui program ini juga, warga UiTM Cawangan Perlis khususnya dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan berganding bahu bersama komuniti setempat dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan serta pengisian yang memberi manfaat kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Antara pengisian utama program termasuk gotong-royong memasak bubur lambuk, agihan sumbangan, ceramah dan pemeriksaan kesihatan serta majlis berbuka puasa bersama keluarga asnaf, pelajar tahfiz Madrasah Muqarrabin, Beseri, anak-anak yatim dari Pertubuhan Anak Yatim Negeri Perlis dan masyarakat setempat.
Sebanyak 300 pek bubur lambuk turut diagihkan kepada komuniti sekitar, selain sumbangan pakaian, wang tunai dan barangan keperluan asas kepada para penerima.
Program berkenaan dianjurkan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk komuniti setempat, agensi kerajaan serta sektor korporat.
Program tersebut juga menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan antara UiTM Cawangan Perlis dengan masyarakat setempat.