Program SARA rekod kadar penggunaan sehingga 99 peratus

Sistem MyKasih membuktikan keberkesanan bantuan digital kepada golongan sasar. Foto/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Februari – Pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui sistem MyKasih membuktikan keberkesanan bantuan digital dengan merekodkan kadar penggunaan sehingga 99 peratus, sekali gus merancakkan perbelanjaan di pasaran tempatan sepanjang tahun 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan SARA melalui MyKasih mencatat kadar penggunaan sehingga 99 peratus, menunjukkan keberkesanan bantuan digital.
  • Perbelanjaan pasaran tempatan mencapai RM4.8 bilion daripada peruntukan RM5 bilion bagi tahun 2025.
  • Kerajaan menyediakan RM15 bilion untuk STR dan SARA pada 2026, melibatkan lebih 8 juta penerima.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pelaksanaannya di semua kedai rakan niaga SARA berdaftar seluruh negara menerima sambutan amat menggalakkan daripada rakyat.

“Berdasarkan data tahun 2025, Hampir 5.6 juta penerima SARA bulanan di bawah STR telah menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas di premis pendaftar yang mencerminkan kadar penggunaan sebanyak 99 peratus.

“Nilai transaksi perbelanjaan di pasaran tempatan mencecah RM4.8 bilion daripada peruntukan RM5 bilion. Pada 2026, RM15 bilion disediakan untuk STR dan SARA berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya untuk dimanfaatkan lebih 8 juta penerima,” katanya.

Datuk Seri Amir Hamzah menyatakannya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat.

Menurut Datuk Seri Amir Hamzah, pendekatan tanpa tunai itu juga membolehkan kerajaan memantau pelaksanaan program secara lebih sistematik selain dapat memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar serta digunakan bagi tujuan yang ditetapkan.

Impak pelaksanaan SARA turut dapat dilihat menerusi SARA secara sekali beri dengan lebih 21 juta rakyat Malaysia membuat perbelanjaan  atau bersamaan 96 peratus daripada keseluruhan penerima.

Pada 9 Februari tahun ini, kerajaan akan meneruskan inisiatif SARA secara sekali beri sebanyak RM100 melalui MyKad dengan peruntukan RM2.2 bilion.

Inisiatif berkenaan dapat dimanfaatkan oleh semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan