fb fb fb fb fb

Program Salam Baitullah rekod tontonan tinggi, meningkat 229 peratus

Timbalan Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Program Salam Baitullah mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton dengan capaian tertinggi dicatatkan pada tahun ini.

Program musim ke-16 ini mencatatkan 154,556 tontonan di platform OTT RTMKlik berbanding hanya 47,000 tontonan pada tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 229 peratus.

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan, capaian penonton di televisyen turut meningkat tahun ini.

"Kali ini, ia meningkat sekali ganda, diantara sejuta dengan sejuta lebih, 1 hingga 1.5 juta rate setiap hari, setiap kali siaran. Cuma yang saya hendak maklumkan, yang meningkat ketara di platform media sosial", katanya kepada pemberita semasa Majlis Penutupan serta Penyampaian Hadiah Salam Baitullah 2024 di ibu negara.

Sementara itu, Timbalan Pengarah, Seksyen Ehwal Semasa, Rahayu Wahid pula sangat berpuas hati dengan pengisian dan penerbitan Program Salam Baitullah tahun ini, walaupun terdapat beberapa kekangan pada saat awal.

Beliau berkata setiap pengisian dan segmen yang ditampilkan mendapat pujian dari ramai pihak dan mengharapkan lebih baik untuk siaran tahun hadapan.

"Untuk tahun hadapan, kita akan buat juga, seperti En. Shahri kata kita akan buat di lokasi luar dan kita ada beberapa cadangan lokasi, kita tengok masjid-masjid yang cantik.

"Di Malaysia, contohnya kita ada juga tengok masjid dekat Bukit Jelutong, atau pun kalau boleh kita hendak pergi Masjid Sendayan. Masjid Sendayan, kita tahu seperti masjid nabi dan itu antara cadangan kami", katanya.

Selain itu, penyertaan kuiz dalam program ini mendapat juga sambutan sangat tinggi iaitu sebanyak 15,809 penyertaan.

Kesemua pemenang turut hadir di Majlis penutup serta Penyampaian Hadiah Salam Baitullah 2024 yang diadadakan di Royal Chulan Kuala Lumpur.

Salam Baitullah merupakan rancangan terbitan RTM yang disiarkan setiap kali musim haji. 

 

ROSLINA BINTI DIN