fb fb fb fb fb

Program Pra Tahfiz platform terbaik pupuk kecintaan Al-Quran

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Program Pra Tahfiz bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat KEMAS yang mula diperkenalkan Julai tahun lalu amat bertepatan dalam usaha melahirkan 140,000 kanak-kanak TABIKA Hufaz Cilik menjelang 2026.

Program itu juga merupakan landasan terbaik yang dilaksanakan KEMAS bagi menanam rasa kecintaan terhadap Al-Quran sejak kecil.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apabila kanak-kanak membesar dengan nilai-nilai murni yang baik ia akan melahirkan pewaris negara yang hebat.

Katanya, sekiranya tidak dilakukan seawal usia ia akan memberi pengaruh teknologi yang negatif kepada mereka.

"Kita lihat seawal dua tahun pendekatan yang dilakukan ibu bapa apabila anak-anak itu meragam dan menangis, jawapan untuk mendiamkan mereka adalah dengan memberi gajet seperti telefon bimbit kita kepada anak-anak itu.

"Akhirnya anak-anak akan bermain 'game', tidak diajar dan dibentuk dengan pedagogi pengajaran Al-Quran. Kekhuatiran kita ialah teknologi yang canggih apatah lagi dengan kecerdasan buatan (AI), kita khuatir anak-anak itu akan lakukan penyaluran yang salah terhadap kononnya cari maklumat tapi akhirnya pergi ke aplikasi yang negatif," kata Ahmad Zahid.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Program Pra Tahfiz  KEMAS peringkat Negeri Terengganu 2024 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini.

Program yang dilaksanakan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu disertai 10,843 TABIKA Kemas seluruh negara dengan projek rintis dijalankan di 100 kelas sebelum pelaksanaan sepenuhnya pada 1 Ogos depan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Program Pra Tahfiz bukanlah satu agenda politik, sebaliknya ia adalah agenda nasional kerajaan melahirkan lebih ramai hufaz cilik pada masa akan datang.

Program itu perlu disokong semua pihak tanpa mengaitkannya dengan politik.

Pra Tahfiz dilaksanakan KEMAS bertujuan melahirkan hufaz cilik yang mahir dalam bacaan dan pengajian ilmu Al Quran serta pengajian islam.

"Kita harus 'buta warna'...buta warna dalam usaha menyokong usaha yang dilakukan kerajaan ini. Kita ketepikan warna-warna politik. Ini bukan agenda politik, ini adalah agenda agama dan agenda nasional yang harus disokong pemimpin Islam dan setiap individu umat Islam," katanya.

Pada Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan Program Pra Tahfiz KEMAS.

TETITIA YUSOFF