fb fb fb fb fb

Program polis bersama masyarakat akan terus dipertingkat

(Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad)

KANGAR, 20 Mac- Masyarakat boleh memainkan peranan penting dengan memberikan kerjasama serta menyalurkan maklumat dalam mencegah dan mengekang kegiatan jenayah di negara ini.

Bagi menghargai kerjasama yang diberikan masyarakat, pelbagai program dalam mendekati rakyat akan terus diberi perhatian.

Menurut Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, pelbagai program telah dilaksanakan bersama masyarakat di seluruh Perlis.

Antaranya Program Gerak Rahmah bersama Skim Rondaan Sukarela dalam usaha meningkatkan pencegahan jenayah bersama komuniti.

Selain itu, turut dianjurkan Program Khidmat Komuniti, Program High Profile Policing serta Program Pencegahan Jenayah dan Kepolisan Komuniti, antara usaha digerakkan pihak polis secara berkala.

"Saya mohon sangat kalau boleh kita ingin dapat kerjasama yang lebih erat dengan masyarakat kerana polis dan masyarakat berpisah tiada. Harapan saya semoga PDRM akan menjadi satu pasukan yang unggul di dunia, Insyaallah," katanya.

Surina ditemui pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.


(Perbarisan pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis)

Sambutan berlangsung dengan penuh istiadat kepolisan juga melibatkan penyampaian sijil penghargaan kepada agensi dan jabatan kerajaan yang sentiasa memberi sokongan kepada PDRM.

Selain itu penghargaan kepada petugas media atas liputan berkaitan pelbagai kejayaan PDRM di negeri itu.

Media Baharu