MELAKA, 28 Mei- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberi penekanan terhadap pentingnya usaha menjaga kebersihan dan kelestarian sungai sebagai salah satu langkah utama dalam memelihara alam sekitar.
Untuk itu, Program Membersih Sungai Melaka anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UPSI diadakan pada 24 Mei lalu.
Menurut Pengurus Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Salman Salim, beliau yang memberi pujian terhadap komitmen JHEPA UPSI berharap kerjasama seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
"Program membersih sungai ini adalah salah satu pengisian di dalam slot Retreat (permukiman) JHEPA 2024.
"Ia juga menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan sungai," katanya menerusi kenyataan.
Aktiviti berkenaan melibatkan kerja-kerja pembersihan fizikal seperti memungut sampah sarap di tebing-tebing sungai, selain sesi penerangan dan pendidikan mengenai kepentingan sungai kepada ekosistem dan kehidupan manusia.
Program julung kali JHEPA UPSI yang diadakan dengan kerjasama PPSPM itu melibatkan penyertaan seramai 148 orang.
Sementara itu, menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, beliau menyatakan penghargaan kepada semua kakitangan terlibat yang sanggup berkorban tenaga dan masa.
"Program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti dalam mendidik dan menyumbang kepada masyarakat, malah sebagai tanda keprihatinan dalam memelihara alam sekitar," kata Norkhalid.
Program itu juga dapat menyemarakkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan sungai kita.
Jelasnya, Sungai Melaka bukan sahaja menjadi lambang Melaka yang terkenal sebagai bandar pelancongan, tetapi juga sumber kehidupan yang perlu dipelihara bersama.
Program itu berakhir dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan dan kerjasama di antara JHEPA UPSI dan PPSPM.