Program latihan dalam industri, bantu veteran ATM

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan beramah mesra bersama veteran Angkatan Pertahanan Malaysia (ATM) yang hadir pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERHEBAT, JHEV ATM dan PERKESO di Dewan Jubli Perak Kem Sungai Buloh / BERNAMA

SUNGAI BULOH, 10 Mac – Kementerian Pertahanan mahu memperluaskan pendekatan latihan terus dalam industri kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal bersara bagi memastikan mereka mempunyai peluang pekerjaan kedua selepas tamat perkhidmatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • MoU ditandatangani antara PERHEBAT, JHEV ATM dan PERKESO bagi melaksanakan program latihan dalam industri kepada veteran.
  • Anggota masuk ke industri sebelum bersara untuk latihan praktikal; kerajaan membayar gaji dan menampung kos latihan tambahan jika diperlukan.
  • Matlamat: tingkatkan peluang latihan (200 dikenal pasti) kepada ribuan supaya veteran memperoleh pekerjaan kedua dan tidak bergantung kepada pencen sahaja.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu penting memandangkan kira-kira 5,000 anggota tentera bersara setiap tahun dan sebahagian besar daripada mereka masih berada pada usia produktif.

Menurut beliau, kebanyakan anggota yang bersara adalah daripada kategori lain-lain pangkat dengan umur sekitar 39 hingga 42 tahun dan masih mempunyai tenaga serta kemampuan untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara.

“Sebahagian besar anggota tentera bersara pada umur sekitar 39 hingga 42 tahun dan mereka merupakan golongan yang masih lagi bertenaga. Rugi bagi negara jika kita tidak sediakan mereka untuk terus menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Kompleks PERHEBAT di sini hari ini.

Majlis itu turut disaksikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata kementerian kini meneroka pendekatan baharu yang membolehkan anggota tentera memasuki industri dan syarikat lebih awal untuk menjalani latihan sebelum bersara.

Menurutnya, pendekatan itu memberi peluang kepada industri menilai kemahiran dan kesesuaian anggota tentera sebelum menawarkan pekerjaan tetap kepada mereka.

“Apa yang kita juga ingin teroka ialah soal kita, anggota-anggota terus masuk ke industri dan syarikat dan dilatih oleh industri dan juga syarikat.

“Bila mereka mula masuk ke fasa peralihan sebelum mereka bersara kita mahu itu supaya mereka mendapat latihan yang tepat.

“Kita mahu anggota masuk ke industri dan dilatih oleh industri itu sendiri sebelum mereka bersara supaya mereka mendapat latihan yang tepat dan bersesuaian dengan kemahiran yang diperlukan,” katanya.

Beliau menjelaskan sepanjang tempoh latihan awal itu, anggota terbabit masih menerima gaji daripada kerajaan, sekali gus mengurangkan beban kewangan kepada pihak industri.

Tambah beliau, kerajaan juga bersedia menanggung kos latihan sekiranya industri memerlukan latihan tambahan bagi memastikan kemahiran anggota tentera memenuhi keperluan sektor berkenaan.

Katanya pendekatan latihan berasaskan industri itu dilihat lebih berkesan berbanding latihan secara umum kerana syarikat dapat melatih bakal pekerja mengikut keperluan sebenar operasi mereka.

Beliau berkata setakat ini kira-kira 200 peluang latihan dalam industri telah dikenal pasti, namun jumlah itu perlu ditingkatkan bagi menampung jumlah anggota tentera yang bersara setiap tahun.

“Kita ada lebih kurang 5,000 anggota tentera bersara setiap tahun. Kalau kita dapat sediakan peluang kepada 2,000 atau 3,000 orang untuk mendapat pekerjaan kedua, itu sudah cukup baik,” katanya.

Menurutnya usaha berkenaan penting bagi memastikan veteran ATM tidak hanya bergantung kepada pencen semata-mata selepas bersara daripada perkhidmatan tentera.

“Apa yang kita mahu lihat ialah apabila seseorang anggota itu menjadi veteran, dia tidak lagi merungut kerana hanya bergantung kepada pencen semata-mata. Kelebihan berkhidmat dalam tentera sebenarnya ialah seseorang boleh mempunyai dua sumber pendapatan.

“Namun syaratnya, selepas menamatkan perkhidmatan dalam tentera, mereka mesti memperoleh pekerjaan kedua. Jika mereka tidak mendapat pekerjaan kedua atau pekerjaan yang baik selepas bersara, maka kelebihan berkhidmat sebagai seorang anggota tentera itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.” katanya.