KUALA KRAI, 17 Jun-Program Ibadah Korban Perdana yang dianjurkan Masjid Bandar An Nur Guchil, di Kuala Krai Kelantan tahun ini menerima sambutan baik penduduk setempat yang turut bersama-sama melaksanakan program tersebut di perkarangan masjid, hari ini.
Imam Tua Masjid Bandar An Nur, Ustaz Abdullah Ismail berkata, cuaca yang baik turut membantu melancarkan proses sembelihan sembilan ekor lembu kali ini.
"Antara matlamat program kali ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kariah kita melibatkan pengurusan masjid di samping kita meningkatkan syiar Islam di mana hari raya Aidiladha merupakan sejarah yang terbesar melibatkan Nabi kita, Nabi Ibrahim Alaihissalam (A.S.) dan anak baginda iaitu nabi Ismail (A.S)", katanya.
Sementara itu menurut salah seorang penyumbang tetap lembu korban Masjid Bandar An Nur, Syamsul Amry Abdul Rahman yang tinggal di Kuala Lumpur berkata, beliau dan keluarga sangat teruja untuk bersama-sama kariah masjid serta penduduk di sini setiap kali tibanya Aidiladha untuk melihat sendiri tradisi kemeriahan berhari raya masyarakat Kelantan.
"Semua tahu sambutan Hari Raya Aidiladha di Kelantan ini memang meriah dan kita boleh tengok di sini kerjasama yang diberikan pun semua orang berkumpul dan bersama untuk memeriahkan dengan niat untuk bersedekahâ, ujar Syamsul.
Dalam pada itu, Ustaz Abdullah berkata, pengagihan daging-daging korban itu akan memanfaatkan lebih 200 penduduk di mukim Kuala Krai termasuk golongan asnaf terpilih.
Program bermula sebaik sahaja selesai solat sunat Aidiladha dan khutbah pukul 9.00 pagi.
Jelas beliau, program ibadah korban sebegini dapat memberi peluang kepada warga masjid untuk membantu mereka yang memerlukan di sekitar masjid dan diharapkan sambutan sumbangan ibadah ini dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.