PULAU TUBA, 16 Februari- Sebanyak 262 projek fizikal dan 46 projek bukan fizikal telah berjaya dilaksanakan di 42 kampung menerusi Program Kampung Angkat Madani di seluruh negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan projek terbabit dibiayai di bawah peruntukan RM100 juta dengan agihan peruntukan maksimum sehingga RM2.5 juta bagi setiap kampung.
Projek kecil fizikal membabitkan naik taraf infrastruktur seperti dewan serba guna, gelanggang sukan, pembaikan surau serta menaik taraf jambatan manakala projek bukan fizikal pula seperti melibatkan program kemasyarakatan seperti gotong-royong serta bimbingan kepada kanak-kanak sekolah, remaja dan belia.
Ujar Datuk Seri Amir, peruntukan itu yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 bertujuan merapatkan jurang antara desa dan bandar dengan menyediakan kemudahan bekalan air, elektrik, jalan, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian Internet.
"Tahun ini kita buat lain. Kita bagi RM200 juta, setiap kampung dapat RM1 juta. Apa yang paling penting ialah penglibatan masyarakat setempat.
Kita buat cara gotong-royong, kita buat cara kita dan minta agensi-agensi kerajaan juga ikut serta. Jadi, ia pun mesra rakyat, selain faham isu-isu semasa rakyat," kata Datuk Seri Amir kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, beliau melakukan lawatan ke Kiosk Makanan di Kampung Selat Bagan Nyiur, projek naik taraf bumbung Masjid Al-Wafa dan dewan orang ramai Kampung Angkat Madani di Pulau Tuba, Langkawi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz.
Bagi Kampung Angkat Madani Pulau Tuba dan Selat sebanyak 13 projek dan program yang telah dilaksanakan merangkumi projek yang berimpak tinggi kepada komuniti.
Antaranya pencahayaan lampu solar, penyediaan sumber air alternatif seperti telaga tiub, menaik taraf kemudahan awam seperti masjid, balai raya, projek peningkatan pendapatan usahawan seperti kiosk MADANI dan juga projek berasaskan pelancongan.