fb fb fb fb fb

Program Jualan Sales2u Aidilfitri dedah pelatih GiatMARA kepada dunia keusahawanan

Foto RTM

KANGAR, 5 April- Program Jualan GiatMARA Sales2u Aidilfitri melibatkan 20 pelatih memberi tumpuan kepada pemasaran produk yang dihasilkan para pelatih yang mengikuti latihan kemahiran di GiatMARA Kangar.

Program tersebut merupakan program pemantapan pembudayaan usahawan yang memberi pendedahan kepada pelatih dalam dunia keusahawanan dengan memasarkan hasil produk mereka untuk manfaat masyarakat khususnya ketika menjelang Aidilfitri.

Menurut Pengarah GiatMARA Perlis Harun Radzi, program kali ini melibatkan produk jualan seperti makanan, jualan pakaian dewasa dan kanak-kanak, jualan aksesori serta perkhidmatan baik pulih telefon bimbit.

Produk yang dihasilkan mendapatkan sambutan baik daripada masyarakat dan sekaligus membuktikan setiap yang dipelajari membuka ruang dan peluang yang luas kepada setiap pelatih bagi menjana ekonomi untuk diri dan keluarga.

Walaupun barangan yang ditawarkan pada harga murah dan berpatutan, secara purata mampu menjana pendapatan keseluruhan sehingga RM5,000 buat pelatih berkongsi rezeki.

Beliau ditemui pada Program Jualan GiatMARA Sales2u Aidilfitri yang berlangsung di Perkarangan Kayangan Square, di sini.

Program sebegini akan diteruskan GiatMARA dalam membentuk jati diri pelatih agar mempunyai keyakinan diri serta mampu berdikari selain bersedia berkhidmat untuk masyarakat selepas tamat mengikuti latihan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD