GUA MUSANG, 7 Disember- Sebanyak 3,000 ekor ayam berharga RM5 seekor dijual kepada penduduk di Gua Musang, Kelantan sebagai persediaan menghadapi musim gelombang kedua banjir.
Program Jualan Musim Bah yang berlangsung di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Galas di Bandar Utama itu disifatkan tepat pada masanya apabila rata-rata penduduk sedang membuat persiapan menyimpan bekalan makanan kerana diramalkan banjir gelombang kedua akan berlaku Ahad ini.
Selain ayam, sebanyak tujuh tan ikan pelbagai jenis, 700 papan telur dan 1,700 kg minyak masak turut disediakan kepada rakyat.
Dianggarkan 2,000 akan keluarga mendapat manfaat daripada program jualan berkenaan.
ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berharap program jualan itu dapat membantu masyarakat mendapatkan barangan makanan murah ketika musim tengkujuh.
"Saya ambil kesempatan nak ucapkan terima kasih kepada pembekal ayam Lepan Jaya Food, tauke ikan di kawasan Gua Musang, serta pemborong telur.
"Kita jual di bawah harga pasaran. Terima kasih kepada semua yang bekerjasama dengan pusat khidmat ADUN Galas yang menyediakan harga yang murah kepada rakyat. Terima kasih kepada rakyat yang datang. Ada ruang kita buat lagi," katanya
Terdahulu, MetMalaysia menjangkakan luruan monsun akan berlaku dalam tempoh bermula 8 hingga 14 Disember ini dan keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di negeri Pantai Timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan.