SHAH ALAM, 12 Mei - Program Jelajah Saya Digital (JSD) yang dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjaya melatih seramai 22,877 orang peserta dari seluruh negara bagi meningkatkan keupayaan usahawan untuk mengguna pakai teknologi digital dan meningkatkan jualan serta pendapatan.
Program berunsur ekonomi digital di bawah seliaan Kementerian Digital (KD) itu telah menjelajah ke 59 lokasi sejak diperkenalkan pada 2021.
Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, program JSD siri kelima tahun ini diadakan di Selangor bagi mewujudkan kesedaran rakyat di negeri ini tentang kepentingan teknologi digital dan penyelesaian gaya hidup pintar demi mendepani masa depan digital.
"Program JSD @ Shah Alam dimeriahkan dengan pameran daripada agensi kewangan dan usahawan program MDEC.
"Seiring dengan visi Malaysia MADANI yang mana keterangkuman dan kesaksamaan menjadi teras utamanya, MDEC akan terus melaksanakan program-program seperti ini agar kemakmuran dan peluang yang dicipta dapat dimanfaatkan oleh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, konsep karnival kali ini membawa aktiviti interaktif seperti bengkel pengisian literasi digital dan keusahawanan serta pertandingan
‘eSport’ dan ruang pameran dari agensi-agensi kerajaan yang mengenengahkan aspek pendigitalan.
Katanya, MDEC membawa program eUsahawan,100 Go Digital dan #mydigitalmaker bertujuan bagi meningkatkan keupayaan usahawan dalam menggunapakai teknologi digital, meningkatkan hasil jualan serta menggalakkan penjanaan pendapatan.
Acara JSD @ Shah Alam dirasmikan oleh EXCO Infrastruktur Digital & Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor Dr. Mohammad Fahmi Ngah dan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof.
Bagi tahun ini juga MDEC menyasarkan seramai 40,000 peserta untuk menyertai program JSD di 31 lokasi.