fb fb fb fb fb

Program Jom Derma Darah: 81 pek berjaya dikumpul

Foto RTM

KANGAR, 7 Mac- Program Jom Derma Darah mendapat sambutan menggalakkan daripada penderma apabila 81 pek darah didermakan.

Program anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Sena dengan kerjasama Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Tuanku Fauziah diadakan selama dua hari iaitu pada 4 dan 6 Mac bermula pada pukul 8.30 malam sehingga 11.30 malam.

Menurut Pegawai Perubatan, Jabatan Perubatan Transfusi, Dr Noor Izyan Mohamed, inisiatif pelaksanaan program itu sebagai satu tanggungjawab sosial berterusan kepada masyarakat bagi menambah stok bekalan darah di Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Tuanku Fauziah.

Bekalan darah yang mencukupi diperlukan Hospital Tuanku Fauziah bagi rawatan kecemasan yang sentiasa meningkat setiap hari dan ketika Ramadan ini program kebiasaan dianjurkan pada waktu malam khususnya kepada mereka yang berpuasa.

''Ketika ini, darah jenis A paling banyak digunakan untuk rawatan kecemasan melibatkan pendarahan di luar jangka seperti kes kemalangan, komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang, talasemia, kanser, kegagalan buah pinggang termasuk mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal.

''Program sebegini mampu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menderma darah daripada aspek kesihatan serta keperluan untuk rawatan pesakit, tambahan lagi dengan keperluan 800 pek darah di Hospital Tuanku Fauziah setiap bulan bagi kes-kes kecemasan," katanya.

Beliau memaklumkan pada Program Jom Derma Darah di Jabatan Perubatan Transfusi di sini.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 9,551 pek darah didermakan masyarakat, meningkat berbanding 9,503 pek darah pada 2023.

Peningkatan pendermaan darah berikutan pelbagai program derma darah dilaksanakan pertubuhan bukan kerajaan, selain penderma tegar yang hadir sendiri ke Jabatan Perubatan Transfusi untuk menderma darah.

Melalui derma darah secara tetap dapat memastikan bekalan darah yang mencukupi dan selamat untuk memenuhi keperluan semua pesakit.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM