KANGAR, 9 Jun- Pelaksanaan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI berperanan penting menyebar luas maklumat berkenaan dasar, usaha dan inisiatif dilaksanakan kerajaan demi kesejahteraan masyarakat.
Terdapat 45 Komuniti Madani diwujudkan Jabatan Penerangan Negeri Perlis merangkumi kesemua ketiga-tiga kawasan Parlimen Padang Besar, Arau dan Kangar yang melaksanakan pelbagai program bersama komuniti setempat.
Menurut ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling, selain menjadi medium perantara antara kerajaan dan komuniti di peringkat akar umbi, Komuniti Madani juga sebagai usaha berterusan memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat.
"Usaha menyebar luas konsep dan hala tuju Malaysia Madani perlu dipikul oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik serta setiap Komuniti Madani perlu bersedia bergerak sebagai satu pasukan yang mendukung semangat perpaduan", katanya.
Beliau memaklumkannya pada Program JIWA Komuniti Madani DUN Indera Kayangan di Taman Bukit Kaya dan Taman Perlis melibatkan pelbagai aktiviti, antaranya Senaman Tai Chi, Sukaneka, pembukaan Kaunter KWSP, pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah.
Lebih 300 penduduk setempat hadir memeriahkan Program JIWA Komunti Madani yang berlangsung.