fb fb fb fb fb

Program Jelajah MADANI kenal pasti mekanisme terbaik untuk RMK13

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli /Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Program Jelajah MADANI dilancarkan oleh Kementerian Ekonomi untuk mengenal pasti mekanisme dan strategi terbaik dalam mendapatkan input serta pandangan mengenai dasar dan aspirasi baharu yang akan dibentangkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menyatakan bahawa melalui program ini, semua pandangan yang dikumpulkan akan dibincangkan secara terperinci di pelbagai peringkat sebelum diperhalusi oleh Kumpulan fokus yang dibentuk khusus untuk tujuan tersebut.

"Kementerian Ekonomi terus mengadakan pelbagai sesi libat urus, perbincangan, dialog, dan mesyuarat Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG) bagi membangunkan kerangka RMK13 yang menyeluruh," kata Rafizi ketika menjawab soalan dari wakil Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan, di Parlimen.

Beliau turut menekankan pentingnya penyertaan semua Ahli Parlimen dalam proses ini. Sesi Libat Urus (SLU) Parlimen akan diadakan pada Disember 2024 untuk mendapatkan input dan maklum balas daripada semua Ahli Parlimen.

"Kementerian Ekonomi mengalu-alukan sebarang idea baharu atau cadangan daripada semua Ahli Yang Berhormat, kerana penyertaan mereka penting untuk memastikan pembangunan dan masa depan negara yang lebih gemilang," tambah Rafizi.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan kesejahteraan rakyat, Kementerian Ekonomi juga melancarkan portal RMK13, yang bertujuan untuk memastikan keterlibatan masyarakat dalam mempertingkatkan kualiti hidup rakyat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD