SERDANG, 5 Mac- Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Universiti Putra Malaysia (UPM) (IPR-INTAN@UPM) bukan sekadar bertujuan melahirkan petani moden malah membekalkan ilmu perniagaantani kepada peserta untuk dimanfaatkan di masa hadapan.
Program kerjasama UPM dan Kementerian Ekonomi itu melibatkan peserta golongan B40 untuk meningkatkan pendapatan mereka melalui pertanian berteknologi tinggi.
Menerusinya, para peserta didedahkan dengan sayuran beriklim sejuk seperti sayur salad menggunakan kaedah penanaman poli beg ataupun hidroponik.
Menurut peserta program, Nur Anissa Mat Nordin, 24 salad adalah sayur hijau yang mudah untuk ditanam dan dituai di rumah.
"Penanaman salad dan pokok berbuah mempunyai perbezaan pengendaliannya. Tanaman berbuah memerlukan baja yang banyak dan pengendalian lebih berbanding sayuran berdaun yang lebih mudah cara penjagaanya.
"Bagi 'Green Coral Salad' saiznya panjang dan tepi daun yang keriting. Biasa salad ini akan dihidangkan bersama nasi ayam kerana kerangupannya. Apabila ditanam sendiri di rumah ia lebih jimat, malah lebih menarik boleh dipetik terus salad segar di dalam polibeg.
"Manakala 'Romaine Lettuce' mempunyai bentuk yang besar, memanjang, daun yang bujur dan rasanya rangup dan manis. Lapisan luar daunnya berwarna hijau gelab bersaiz 8-9 inci panjang. Warna lapisan dalam daunnya pula berwarna kuning kehijauan," katanya.
Malah, katanya menanam sendiri salad adalah sangat menjimatkan selain bebas bahan kimia berbahaya dan kesegaran serta khasiatnya terjamin.
Nur Anissa turut berkongsi bahawa selepas tamat IPR INTAN UPM, beliau akan membuka ladang salad di Labis, Johor.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Siti Mazatul Hawiyah Mohd Pu'ad, 25 berkata, penanaman salad dapat mengatasi masalah keterjaminan makanan.
"Sayuran beriklim sejuk seperti salad 'Romaine Lettuce' dan 'Green Coral Lettuce' ditanam di kawasan beriklim sejuk dengan suhu udara di antara 18 - 21°C. Namun, sebagai alternatif kepada kebergantungan sayuran dan buah-buahan import, penanaman dua jenis salad berkenaan dapat memberi hasil tanaman setanding dengan tanaman dari kawasan beriklim sejuk.
"Kelebihan menanam sayur hijau, bayangkan anda memetik sayuran di belakang rumah dan terus dimasak. Sudah tentu rasanya lebih segar dan enak berbanding sayuran yang dibeli. Entah berapa lama terbiar selepas dipetik. Disamping itu, anda boleh selang seli tanaman dengan buah-buahan juga,"katanya.