Program Iftar Ramadan perkukuh keharmonian masyarakat

Pengunjung yang memeriahkan suasana di Dataran Merdeka/ Foto JKKN

KUALA LUMPUR, 14 MacProgram Iftar Ramadan dan Malam Tujuh Likur 2026 yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini bertujuan menyemarakkan semangat kerjasama serta mengukuhkan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program menekankan konsep komuniti dengan penglibatan masyarakat melalui gotong-royong, penyediaan bubur lambuk, dan aktiviti kesukarelawan.
  • Pemilihan Dataran Merdeka bertujuan menarik penyertaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 kerana lokasinya ikonik.
  • Kerjasama dengan DBKL dan RELA memastikan keselamatan serta kebersihan kawasan sepanjang program berlangsung.

Pengarah Pengembangan Seni Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jasmi Rasit berkata penganjuran program berkenaan menekankan konsep komuniti dengan penglibatan masyarakat dalam pelbagai aktiviti sepanjang majlis berlangsung.

Beliau berkata pemilihan Dataran Merdeka sebagai lokasi utama program itu juga bertujuan menarik penyertaan pelancong bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Dataran Merdeka merupakan lokasi ikonik dan bersejarah serta menjadi tarikan pelancong, selain terletak bersebelahan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad.

“Melalui penganjuran pelbagai program sepanjang acara ini seperti gotong-royong, penyediaan bubur lambuk, aktiviti kesukarelawan serta majlis berbuka puasa beramai-ramai tanpa mengira lapisan masyarakat dan peringkat usia, ia sekali gus dapat memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika ditemui pada Program Iftar Ramadan dan Malam Tujuh Likur 2026 di sini, hari ini.

Tambah beliau, dari segi aspek keselamatan dan kebersihan, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi memastikan kawasan sekitar Dataran Merdeka berada dalam keadaan selamat dan bersih sepanjang majlis berlangsung.

Program tersebut diadakan selama dua minggu dalam bulan Ramadan, iaitu pada 28 Februari, 1 Mac, 14 Mac dan 15 Mac 2026.

Program yang berlangsung pada 28 Februari dan 1 Mac 2026 dikendalikan oleh JKKN, manakala penganjuran pada 14 dan 15 Mac pula dikendalikan oleh DBKL.