KEPALA BATAS, 27 Mac - Lebih 10,000 pek bubur lambuk di masak kesemua 190 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Pulau Pinang secara serentak menerusi program Gerak Rahmah 2024 : Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Program yang dianjurkan itu inisiatif Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) menjadi wadah memupuk perpaduan kaum dalam komuniti berbilang bangsa khususnya di bulan Ramadan.
Timbalan Pengarah JPNIN Pulau Pinang Zulkhairi Zainal berkata program itu, antara lain bertujuan menggerakkan KRT secara bersepadu di seluruh negeri dan komuniti.
"Ya, sepatutnya itulah kita punya harapan. Pelaksanaan Gerak Rahmah ini adalah lebih kepada objektif gotong-royong secara bersama-sama dalam komuniti tidak mengira kaum, kerana kita mahu meraikan bukan sahaja untuk makan. Yang pentingnya adalah hubungan itu dalam komuniti antara satu sama lain, antara kaum antara etnik," kata Zulkhairi.
Beliau ditemui pemberita dalam program Gerak Rahmah 2024 : Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Pulau Pinang di Masjid Al-Arifi di Paya Keladi.
Turut dijalankan ialah tadarus al-Quran, pemberian bakul Rahmah, jualan daripada KRT dan pemberian pakaian percuma kepada pengunjung yang hadir.
Program Gerak Rahmah 2024 : Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan turut dijalankan secara serentak seluruh negara pada 23 Mac lalu.