KOTA KINABALU, 20 Julai -Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mahu penganjuran Program Citra Gadis Unggul (GADIS) diperluas ke seluruh negara, sekali gus dijadikan sebagai agenda penting bagi mengembangkan potensi pelajar perempuan.
Beliau berkata agenda pendayaan perlu diterapkan sedari awal supaya potensi pelajar perempuan di negara ini dapat terus dikembangkan menjadi insan holistik dan cemerlang.
"Itu antara tumpuan utama kami pada waktu ini untuk memberi kesedaran kepada anak-anak perempuan mengenai hak mereka mendapat peluang pendidikan terbaik dan mencapai impian dalam kehidupan.
"Pengalaman menjadi aktivis bertahun-tahun, kini saya membawa pendayaan GADIS sebagai agenda penting. Hanya pendidikan sahaja yang boleh mengubah masa hadapan anak-anak kita," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Fadhlina menghadiri program GADIS yang dianjurkan dengan kerjasama rakan strategik Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Salaping, Kota Marudu.
Pada program itu, Fadhlina berkata beliau turut berkesempatan mengikuti program mendidik dan memberi kesedaran kepada anak-anak mengenai reproduktif serta isu kesihatan mental. - BERNAMA