KANGAR, 30 Disember- Program Mai Derma Darah, Setitik Darah Sejuta Harapan, satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat bagi menambah stok bekalan darah di Unit Transfusi Darah, Hospital Tuanku Fauziah.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya, menerusi lapan siri program itu bermula April lalu hingga kini; sebanyak 400 pek darah telah didermakan oleh orang ramai.
Katanya, bekalan darah yang mencukupi diperlukan Hospital Tuanku Fauziah bagi membantu pesakit yang memerlukan.
"Ini termasuk pesakit kecemasan yang mengalami pendarahan di luar jangka seperti kes kemalangan, komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang, kanser dan kegagalan buah pinggang.
"Setiap kali penganjuran, sasaran ditetapkan sebanyak 50 pek darah didermakan yang mana ada ketikanya melebihi sasaran ditetapkan hasil keprihatinan masyarakat setempat khususnya dalam kalangan penderma tegar," katanya pada Program Mai Derma Darah, Setitik Darah Sejuta Harapan kali kelapan yang berlangsung di Hospital Tuanku Fauziah di sini.
Katanya, bagi menghargai setiap penderma, 50 kupon cabutan bertuah disediakan untuk 50 yang terawal.
Program dilaksanakan UMNO Bahagian Kangar dengan kerjasama Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kangar, Arau dan Padang Besar serta Unit Tabung Darah Hospital Tuanku Fauziah.