SUNGAI BESAR, 29 Mei- Inisiatif Subsidi Madani (BUDI MADANI) bawah Agrikomoditi, dapat membantu mengurangkan kos operasi pengurusan tanaman golongan petani dan pekebun kecil.
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar, Zailani Ismail menyifatkan, agihan terus kepada golongan sasar, merupakan langkah tepat bagi mengelakkan ketirisan.
"Kami menyambut baik kerana dengan adanya program Budi Madani ini, subsidi dapat disasarkan terus kepada petani bagi mengelakkan daripada golongan yang tidak sepatutnya mendapat faedah dan dengan ini saya menyarankan kepada rakan-rakan petani serta mereka yang layak untuk memohon", katanya kepada pemberita di sini.
Menurutnya, ahli yang memerlukan bantuan boleh mengisi permohonan dan hadir ke pejabat pertanian daerah atau peladang yang berhampiran.
Permohonan yang diluluskan akan menerima bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 dan dikreditkan ke dalam akaun bank pemohon setiap bulan, mulai bulan depan.