fb fb fb fb fb

Program Budaya Tiga Serumpun 2024 terus perkukuh tiga negara

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun

PORT DICKSON, 26 April - Program Budaya Tiga Serumpun 2024 menjadi platform memartabatkan Bahasa Melayu serta mengukuhkan persaudaraan antara tiga buah negara serumpun iaitu Malaysia, Brunei serta Indonesia.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, program itu telahpun bersiaran selama 18 tahun di tiga buah negara dan menjadi simbolik persefahaman serta  kesatuan hati antara Radio Televisyen Malaysia (RTM), Radio Televisyen Brunei (RTB) dan Radio Republik Indonesia (RRI).

Jelasnya, program tersebut juga mampu menonjolkan sisi budaya, pelancongan, ekonomi dan kemajuan ketiga-tiga negara.

"Saya merasakan program ini amat baik dan harap dapat diteruskan, kita sedia maklum telah capai 18 tahun berturut-turut dilaksanakan dan merupakan satu program yang boleh mengeratkan lagi hubungan tiga serumpun.

"Yang pastinya menjadi satu kekuatan kepada kita di negara kita terutamanya Negeri Sembilan sedia maklum ini harus diperkasakan bagi mengangkat martabat Bahasa Melayu yang kita agungkan," kata Aminuddin dalam Majlis Makan Malam Sempena Program Budaya Tiga Serumpun 2024, di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim serta Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Nasaruddin Abdul Mutalib. 

Tambahnya, pemilihan Port Dickson sebagai lokasi program tersebut adalah bertepatan dalam usaha mempromosikan tempat pelancongan di daerah itu di samping memberi nilai tambah kepada Industri Kecil sederhana (IKS) di kawasan sekitar.

Aminuddin menzahirkan rasa bangga apabila loghat Nismilan turut diketengahkan dalan drama naskah RTM bagi Program Budaya Tiga Serumpun 2024 itu.

TETITIA YUSOFF