fb fb fb fb fb

Program 'Bina Semula Gaza' rangka pelan jangka panjang - Pengerusi MyCARE

Dr Kamal Nasharuddin Mustapha

BANGI, 18 Februari- Program 'Bina Semula Gaza' (BSG) dengan kerjasama strategik Surau Pusat An-Nur Country Heights (SPANCH) dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang dilaksanakan sejak 15 Disember lalu mendapat perkembangan positif.

Program itu bertujuan merangka bantuan kemanusiaan strategik berpanjangan untuk penduduk Gaza membabitkan pembinaan kediaman, pertanian, perubatan, pemulihan dan pendidikan.

Seramai 15 sukarelawan daripada SPANCH bersama 15 warga kerja MYCARE terlibat secara langsung dalam program berkenaan yang akan berakhir pada Mei ini bagi mencapai sasaran kutipan derma sebanyak RM500,000.

Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, program itu dijangka akan diteruskan hingga akhir tahun dengan sasaran kutipan RM1 juta susulan sambutan yang mengalakkan.

"Insya-Allah kita akan teruskan usaha ini. Dalam bulan Ramadan, kita akan teruskan juga usaha dengan ceramah-ceramah tentang Palestin.

"Kita juga akan teruskan usaha dengan menjual merchandise (barang dagangan), t-shirt dan sebagainya yang keseluruhannya akan disalurkan kepada Palestin," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Amal Hi Tea Kempen BSG di sini, hari ini.

Tambahnya, MyCARE menyalurkan hampir RM7 juta kepada rakyat Gaza sejak peperangan Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau menyeru sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Gaza.

Katanya, beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, berada di Kaherah selama dua minggu bagi memantau proses penghantaran barangan ke Gaza dilaksanakan dengan baik.

"Antara barangan keperluan disalurkan ialah makanan, minuman, ubat dan peralatan yang dibawa masuk melalui pintu sempadan Rafah.

"MyCARE turut membeli dua ambulans dan 500 khemah untuk dijadikan tempat berlindung selepas kediaman penduduk musnah dibom," katanya.

Orang ramai juga dinasihat agar menghulurkan sumbangan mereka kepada pertubuhan berdaftar demi memastikan penyaluran dana secara sah.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung tahap keyakinan orang ramai membuat sumbangan kepada tabung Gaza susulan isu salah guna kuasa membabitkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kutipan derma untuk Gaza baru-baru ini.

SITI AISHAH BINTI MD ISA