fb fb fb fb fb

Program Anak Kita, sasar pengurangan kadar keciciran pelajar

Foto BERNAMA

BATANG KALI, 27 September- Kementerian Kewangan (MOF) menyambut baik pelaksanaan Program Anak Kita yang merupakan intervensi pembelajaran yang disediakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, program itu adalah tambahan kepada usaha MOF dalam memberi sokongan mengurangkan kadar keciciran pelajar.

"Dalam Belanjawan 2024, kerajaan telah menyediakan RM100 juta untuk program bawah MOF khusus untuk inisiatif keciciran pembelajaran yang berlaku di Malaysia."

"Ini bukan untuk mengambil alih usaha KPM tetapi untuk memberikan sokongan yang lebih, agar kita dapat menangani isu-isu berbangkit serta tambahan kepada perkara sedia ada," kata Datuk Seri Amir Hamzah kepada pemberita dalam sidang media, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Reformasi Pendidikan Program Anak Kita Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor, Selangor.

Intervensi khusus bawah Program Anak Kita, bakal berlangsung sehingga 31 Disember 2025.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM