fb fb fb fb fb

Profesor UM terima Fellowship berprestij RCSEd

Profesor Dr. Sivakumar Krishnasamy, Pakar Bedah Kardiotorasik Universiti Malaya (UM), mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama menerima Fellowship Fakulti Latihan Pembedahan daripada Royal College of Surgeons Edinburgh (RCSEd) / Foto UM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Profesor Dr. Sivakumar Krishnasamy, Pakar Bedah Kardiotorasik Universiti Malaya (UM) mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama menerima Fellowship Fakulti Latihan Pembedahan daripada Royal College of Surgeons Edinburgh (RCSEd).

Anugerah berprestij itu disampaikan pada Majlis Diplomate Royal College di Park Royal Collection Hotel, Kuala Lumpur, semalam.

Universiti Malaya menerusi kenyataan memaklumkan, Fellowship tersebut hanya diberikan kepada pakar bedah yang menunjukkan dedikasi luar biasa dalam pendidikan serta kepimpinan bidang pembedahan.

Profesor Sivakumar berkata pengiktirafan itu memberi makna besar, khususnya dalam peranannya melatih generasi baharu pakar bedah kardiotorasik.

“Sebagai pakar bedah, saya mungkin menyelamatkan satu nyawa pada satu masa. Tetapi sebagai pendidik, saya berupaya melahirkan ramai pakar yang mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa,” katanya.

Beliau kini mengetuai pembangunan program Sarjana Pembedahan Kardiotorasik UM yang disasarkan mencapai piawaian antarabangsa, sekali gus menjadikan UM pusat kecemerlangan latihan pembedahan untuk Malaysia dan ASEAN.

Sementara itu, Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman menyifatkan pencapaian itu sebagai satu kebanggaan universiti serta inspirasi kepada warga kampus untuk terus meraih pengiktirafan antarabangsa.

“Saya amat berbangga dengan kejayaan Profesor Dr. Sivakumar. Beliau ialah tokoh akademik dan pakar bedah yang disegani serta telah banyak menyumbang kepada negara.

"Kejayaan ini mencerminkan kecemerlangan Universiti Malaya dan menjadi inspirasi kepada seluruh warga kampus untuk terus mencapai pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“UM kekal teguh dalam misinya melahirkan bakat bertaraf dunia, graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga mampu memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN