KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Produktiviti pekerja Malaysia meningkat 2.4 peratus pada 2024 dengan nilai tambah per pekerja berjumlah RM99,265 berbanding RM96,914 pada tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, peningkatan itu didorong strategi transformasi industri melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
"NIMP 2030 merupakan komitmen kerajaan untuk menjadikan sektor perkilangan lebih produktif dengan galakan pelaburan dalam teknologi terkini. Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dilaksanakan antara 2026 hingga 2030 menetapkan pengurangan nisbah pekerja asing daripada 15 peratus kepada 10 peratus daripada jumlah tenaga kerja," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan Rakyat, hari ini.
Liew berkata, kadar tersebut dikira berdasarkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dibahagikan dengan bilangan pekerja semasa yang berumur antara 15 hingga 64 tahun.
Beliau menambah, beberapa inisiatif strategik sedang dijalankan bagi merancakkan automasi dan meningkatkan produktiviti termasuk kerjasama awam-swasta melalui Productivity Nexus dengan sasaran penubuhan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.