PUTRAJAYA, 13 Januari – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan bahawa produk "Ham and Cheese Sandwich" yang dijual di sebuah premis di Universiti Malaya (UM) tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Pengesahan itu dibuat selepas pemeriksaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 Januari lalu di kilang syarikat yang menghasilkan produk tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati syarikat tersebut bukan pemegang SPHM.
"Tindakan undang-undang telah diambil oleh KPDN terhadap syarikat berkenaan kerana mencetak logo halal Malaysia pada label produk, yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) dan Perintah Perihal Dagangan," menurut JAKIM menerusi kenyataan.
Produk tersebut menjadi perhatian selepas status halalnya diragui dan isu tersebut tular di media sosial.
JAKIM turut menerima banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak mengenai perkara tersebut.
"JAKIM mengingatkan pengguna untuk sentiasa menyemak status halal produk melalui Portal Halal Malaysia atau aplikasi Verify Halal bagi memastikan kesahihan sijil halal sesuatu produk," tambah JAKIM.