PUTRAJAYA, 28 Februari - Keputusan PKR Sarawak untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) belum dibincangkan di peringkat kepemimpinan pusat.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, isu tersebut juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat terakhir Biro Politik PKR.
"Hal ini baru dimaklumkan kepada pimpinan dalam mesyuarat biro politik yang terakhir tidak bincang perkara ini.
"Di pihak pimpinan, kita akan dapatkan dulu maklumat daripada wakil yang hadir pada mesyuarat tersebut kerana Pengerusi Keadilan Sarawak tidak hadir ke mesyuarat tersebut.
"Beliau berada di mesyuarat biro politik pada masa sama jadi beliau tidak memaklumkan dan hal ini belum dibincangkan secara menyeluruh di peringkat pusat," katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan PKR Sarawak secara rasmi mengumumkan akan bertanding pada PRN Sarawak ke-13.
Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, beliau belum membuat pendirian mengenai jawatan yang akan ditandingi dalam pemilihan parti yang akan berlangsung tidak lama lagi.