KUALA LUMPUR, 24 November - Media sosial terus memainkan peranan penting pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17, terutamanya dalam kalangan pengundi muda.
Penganalis politik, Dr. G. Manimaran berkata penggunaan yang meluas serta capaian menyeluruh kepada semua pihak terutamanya kepada pengundi muda menyebabkan media sosial menjadi platform penting dalam menentukan kemenangan parti politik bertanding.
" Saya rasa dia akan mempunyai kesan.Sebab pengundi baharu, merupakan orang muda.Sebahagian daripada pengundi dewasa bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan maklumat, berita dan sebagainya.
"Kalau kita melihat kajian IDE yang dikeluarkan minggu lepas selepas penerimaan calon, lebih kurang 60% pengundi bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan maklumat", katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Rancangan Selamat Pagi Malaysia di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa hampir 600,000 pengundi baharu berusia 18 tahun ke atas akan penentu keputusan pilihan raya kali ini.
Sementara itu, beliau menasihati parti-parti politik yang bertandi tidak menyalah gunakan kempen di media sosial sehingga menjejaskan proses pilihan raya kali ini.
Beliau turut menggesa agar setiap parti untuk menumpukan perhatian kepada manifesto yang realistik bagi membolehkan para pengundi membuat pilihan yang tepat.
"Jika kita sendiri merosakkan negara dengan menggunakan bahan kempen yang tidak profesional, ia akan membawa mudarat kepada negara. Oleh itu, kita perlu memanfaatkan teknologi baharu dengan sebaiknya.
"Jika teknologi ini gagal digunakan secara bertanggungjawab, termasuk ketika pilihan raya, ia boleh memberikan kesan negatif yang besar dan mendalam kepada negara.
"Gunakan teknologi ini teknologi, bagaimana kita nak menarik, pengisian itu sangat penting. Pengisian bahan kempen, apakah yang mereka nak tawarkan, itu sangat penting untuk menarik pengundi dalam membuat keputusan pada 29 November", ujarnya.
Hari mengundi PRN Sabah ditetapkan pada 29 November ini, manakala pengundian awal pada 25 November.