fb fb fb fb fb

PRN: PDRM tempatkan 40,000 anggota di enam negeri

(Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyaksikan penyerahan dokumen tugas Timbalan KPN antara Tan Sri Razarudin Husain (kiri) kepada Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) pada majlis serah terima tugas di PULAPOL/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 22 Jun- Dianggarkan seramai 40,000 anggota polis akan ditempatkan di enam negeri yang terlibat dalam Pilihan raya Negeri (PRN).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ketika ini penyusunan dan persiapan anggota sedang dirangka bagi tujuan tersebut.

Tegasnya, pihak PDRM sentiasa bersiap siaga memastikan ketenteraman awam khususnya bagi mendepani PRN, sekali gus, memberi peluang kepada masyarakat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dengan selesa.


(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail)

"Sekarang PDRM dalam penyusunan untuk menempatkan dalam anggaran hampir 40,000 anggota bertugas di enam negeri, sama ada anggota dalam negeri berkenaan atau didatangkan dari negeri yang tidak terlibat PRN. Ini bertujuan untuk memastikan keselamatan dalam negara terjaga terutama di negeri berlaku PRN.

"Polis akan tampil dalam keadaan siap siaga bagi memastikan semua undang undang itu dapat berjalan dengan baik dan tidak ada aspek pelanggaran", katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di ibu negara.

Hadir sama pada majlis ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tan Sri Razarudin Husain dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-14 selama dua tahun berkuatkuasa mulai 23 Jun 2023 sehingga 22 Jun 2025.

Beliau menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-13 pada tahun Mei 2021.

Manakala, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara mulai 23 Jun 2023.

Media Baharu